Serba Dinamik Holdings Berhad perlu memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) supaya segala kekeliruan dan salah faham melibatkan syarikat itu dengan juruauditnya, KPMG dapat dirungkai.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, syarikat penyedia penyelesaian kejuruteraan itu perlu membenarkan satu firma atau jawatankuasa bebas untuk menjalankan audit forensik ke atas akaunnya.
“Saya melihat isu ini adalah isu tadbir urus korporat dan ia melibatkan ketelusan serta akauntabiliti dalam menyediakan laporan kewangan yang mencerminkan prestasi sebenar syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Serba Dinamik dihantui kontroversi melibatkan transaksi meragukan bernilai lebih RM3 bilion yang dibangkitkan juruauditnya, KPMG.
Kontroversi tersebut memberi kesan kepada nilai sahamnya yang minggu lalu susut lebih 50 peratus, sekali gus menjunamkan permodalan pasaran syarikat itu dengan nilai susut lebih RM3 bilion.
Perkara itu turut berkemungkinan memberi kesan kepada prestasi saham tempatan minggu lalu apabila indeks utama FBM KLCI susut satu peratus berbanding minggu sebelumnya.
Menurut CGS-CIMB, pelabur institusi tempatan menjual paling banyak ekuiti, iaitu sebanyak RM469 juta, 57 peratus lebih tinggi berbanding RM298 juta pada minggu sebelumnya.
Nota kajiannya menyebut, sektor yang paling banyak menyaksikan penjualan ekuiti oleh pelabur institusi tempatan merupakan sektor tenaga dan penjagaan kesihatan terutamanya melibatkan Serba Dinamik, Pharmaniaga dan Petronas Chemical.
“Dagangan mereka juga berubah lebih negatif, kemungkinan disebabkan masalah tadbir urus yang menimpa Serba Dinamik,” katanya.
Walau bagaimanapun, Ahmed Razman berpendapat, isu yang melibatkan syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia kebiasaannya tidak memberi impak yang besar kepada prestasi bursa secara keseluruhan, lebih-lebih lagi jika syarikat tersebut tidak tersenarai dalam 30 syarikat di bawah Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI).
“Tindakan pelabur institusi, pelabur runcit dan pemegang saham utama Serba Dinamik dalam membeli dan menjual pegangan saham dalam syarikat tersebut bergantung kepada maklumat relevan yang diperolehi berkaitan syarikat tersebut dan selera risiko itu sendiri.
“Kemungkinan tindakan pelabur institusi menjual pegangan saham adalah kerana mereka lebih suka melabur dalam syarikat yang tidak terlibat dalam kontroversi dan mampu memberi pulangan dividen yang stabil setiap tahun,” katanya.
Pengasas bersama Serba Dinamik, Datuk Awang Daud Awang Putera turut melepaskan sebahagian sahamnya baru-baru ini namun menegaskan ia berikutan faktor teknikal margin pasaran saham. – UTUSAN ONLINE
Chart | Stock Name | Last | Change | Volume |
---|
Created by acinanatucer | Oct 29, 2021
Created by acinanatucer | Oct 12, 2021
Created by acinanatucer | Oct 06, 2021
Created by acinanatucer | Oct 01, 2021
Created by acinanatucer | Oct 01, 2021
Created by acinanatucer | Oct 01, 2021
Created by acinanatucer | Sep 23, 2021