Oil and Gas Malaysia News

Tindakan Serba Dinamik lantik pengarah baharu dipuji

acinanatucer
Publish date: Tue, 15 Jun 2021, 12:58 PM

Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) memuji langkah Lembaga Pengarah Serba Dinamik Holdings Bhd yang melantik tiga pengarah bebas bukan eksekutif baharu, sebagai kaedah terbaik dan terpantas bagi menyelesaikan isu berbangkit.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MSWG, Devanesan Evanson, berkata pemegang saham minoriti telah terjejas ekoran kejatuhan harga saham berikutan ketidaktentuan isu audit konglomerat perkhidmatan minyak dan gas.

"Tiada keperluan untuk sesiapa mempersoal atau mempertikai kewibawaan semua ahli lembaga pengarah kerana mereka membawa bersama dinamik dan kapasiti yang diharapkan.

"Pemilihan firma Ernst & Young Advisory Services Sdn Bhd daripada kalangan empat firma audit terkemuka global juga menunjukkan kesungguhan Serba Dinamik memenuhi syarat tadbir urus korporat sepenuhnya," kata beliau.

Beliau juga mengulas mengenai pengumuman syarikat itu yang melantik firma audit EY, sebagai penilai bebas ke atas ketepatan dan kebenaran perkara yang dibangkitkan oleh KPMG.

Difahamkan, firma berkenaan akan memulakan tugasnya secepat mungkin pada minggu ini juga.

Sementara itu, tiga ahli lembaga pengarah baharu yang dilantik ialah Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed, 65, yang juga Pengerusi Eksekutif Koperasi Amanah Pelaburan Bhd, Hartanah AP Rakyat Bhd, CTG Capital Sdn Bhd, HAF Automotive Sdn Bhd, AP Holdings Bhd dan Awesome TV (subsidiari Awesome Media Network Sdn Bhd).

Kedua ialah Johan Mohamed Ishak, 46, bekas CEO Media Prima Bhd (2017-2020) dan bekas CEO MyCreative Ventures Sdn Bhd, entiti pelaburan milik Kementerian Kewangan (2012-2017).

Beliau memiliki pengalaman perakaunan dan audit yang luas serta pernah berkhidmat di Deloittee Touche Tohmatsu International dan PricewaterhouseCoopers.

Johan juga adalah ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan felo the Chartered Accountants Australia New Zealand (CAANZ) (sejak 1997).

Ketiga ialah Masleena Zaid, 46, seorang peguam dan pernah menjadi pendakwa raya di Suruhanjaya Sekuriti dari 2001 hingga 2007.

Beliau kini adalah rakan kongsi pengurusan di firma tetuan Masleena, Yee & Partners selain menjadi pengarah bebas bukan eksekutif di AP Holding Bhd serta Eastland Equity Bhd.

Pelantikan tiga anggota baharu ini akan menjadikan Lembaga Pengarah Serba Dinamik kini berjumlah 12 individu.

Ahli lembaga pengarah lain ialah bekas rakan kongsi KPMG Malaysia, Hasman Yusri Yusoff; bekas Pengarah Urusan Nationwide Express Holdings Bhd, Rozilawati Basir; akauntan Sharifah Irina Syed Syed Ahmad Razi dan peguam, Tengku Datuk Seri Hasmuddin Tengku Othman.

Lembaga pengarah syarikat terdiri daripada tiga pengasas bersama yang juga pemegang saham utama syarikat iaitu Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Abdul Karim Abdullah, Datuk Abdul Kadier Sahib dan Pangeran Datuk Awang Daud Awang Putera.

Dua lagi ialah bekas pegawai kanan PETRONAS, Datuk Mohamed Nor Abu Bakar selaku pengerusi syarikat dan bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Syed Nazim Syed Faisal.

Pengumuman oleh Serba Dinamik ini juga mendapat reaksi positif pasaran saham Bursa Malaysia apabila melantun semula sebanyak 14 sen atau 23.14 peratus untuk ditutup pada 74.5 sen sesaham dengan jumlah dagangan sebanyak 1.23 bilion saham.

Discussions
1 person likes this. Showing 0 of 0 comments

Post a Comment