Oil and Gas Malaysia News

Saham Serba Dinamik, Central Global tumpuan pelabur runcit

acinanatucer
Publish date: Tue, 22 Jun 2021, 03:10 PM

Pasaran ekuiti tempatan menyaksikan Serba Dinamik Holdings Berhad menjadi antara tiga saham utama yang dibeli oleh pelabur runcit pada minggu lalu.

Dua saham lain termasuk Top Glove Corporation Berhad dan Central Global Berhad (CGB), menurut CGS-CIMB Research. 

Berdasarkan jadual aliran masuk dan keluar dana pelabur runcit oleh firma penyelidikan itu, Serba Dinamik mencatatkan pembelian bersih RM24.8 juta bagi tempoh 14 Jun hingga 18 Jun 2021.

Top Glove pula mengungguli pembelian beli bersih terbesar oleh pelabur runcit berjumlah RM113.1 juta dan CGB mencatatkan nilai RM22.8 juta bagi tempoh sama. 

“Pelabur runcit kekal sebagai pembeli bersih terbesar untuk tiga minggu berturut-turut. 

“Mereka meningkatkan nilai pembelian bersih sebanyak 16% kepada RM222 juta nilai ekuiti. Mereka merupakan pembeli bersih terbesar sektor penjagaan kesihatan dan produk perindustrian. 

“Tiga saham utama yang dibeli bersih oleh pelabur runcit pada minggu lalu adalah Top Glove, Serba Dinamik dan CGB,” jelas CGS-CIMB dalam satu nota kajian aliran dana, hari ini.

Dalam pada itu, Serba Dinamik juga tersenarai antara tiga sasaran penjualan singkat utama yang dikawal selia dari segi nilai dagangan, pada minggu lalu. 

Sebagai rekod, penggantungan penjualan singkat yang dikawal selia (RSS) di Bursa Malaysia telah ditarik semula pada 1 Januari 2021. 

Pada minggu lalu, menurut CGS-CIMB, purata nilai dagangan harian RSS meningkat 9% berbanding dua minggu lalu kepada RM21.4 juta.

Bagi tempoh sama, semua kategori pelabur kecuali institusi tempatan merupakan pembeli bersih ekuiti Malaysia. 

Ini sekali gus menyaksikan pelabur asing menjadi pembeli bersih kedua terbesar iaitu dengan aliran masuk RM76 juta, setelah menjual bersih RM194 juta nilai ekuiti pada dua minggu lalu. 

Discussions
Be the first to like this. Showing 0 of 0 comments

Post a Comment