save malaysia!

Kerajaan Perpaduan Atasi Politik Kepentingan Diri By A Kadir Jasin

savemalaysia
Publish date: Fri, 28 Feb 2020, 02:47 PM

FRIDAY, FEBRUARY 28, 2020

 

 

 
 
 
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
 
MUKHADIMAH: Pandangan yang terkandung dalam tulisan ini adalah pandangan peribadi saya. Saya menulis dalam kapasiti saya sebagai seorang blogger. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa jawatan yang mungkin saya pegang.
 
Sidang Khas 2 Mac: Harap sinar akan terus menerangi kita
 
MENGAMBIL berkat hari Jumaat yang mulia ini dan dengan lafaz بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ izinkan saya bercerita mengenai beberapa perkara berkaitan negara kita sekarang.
 
Negara kita berada dalam suasana perubahan yang sangat radikal, pantas dan kompleks. Dalam masa lebih kurang 10 hari perubahan luar biasa telah dan akan berlaku.
 
Kita mohon kepada Tuhan agar memberikan kita petunjuk, kekuatan dan perlindungan.
 
Mula-mula mengenai kerajaan perpaduan nasional yang Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad cadangkan.
 
Sama ada beliau menang atau kalah dalam perbahasan sidang khas Dewan Rakyat yang dijadualkan Isnin, 2 Mac ini bergantung kepada sama ada cadangan kerajaan perpaduan dalam acuan beliau sendiri itu diterima atau tidak.
 
Konsep kerajaan perpaduan yang Dr Mahathir cadangkan mungkin berbeza daripada kerajaan perpaduan yang dikenali umum.
 
Seperti yang beliau terangkan secara ringkas di sidang media ketika melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 semalam (Khamis, 27 Februari) adalah lebih kurang begini:
 
1. Pemilihan anggota Kabinet tidak diasaskan daripada parti politik;
 
2. Calon terdiri daripada orang perseorangan yang menyertai Kabinet sebagai individu;
 
3. Mereka akan dipilih sebagai individu berasaskan budi pekerti dan kepakaran. (Ertinya penyangak, penyamun, pencabul kehormatan, perasuah dan orang kena tuduh (OKT) tidak termasuk dalam senarai); dan
 
4. Calon boleh datang daripada parti politik tetapi mereka duduk di dalam Kabinet sebagai orang perseorangan.
 
Mengapakah Dr Mahathir memilih kaedah ini yang sekali gus mungkin mengurangkan harapan beliau mendapat sokongan daripada wakil parti-parti politik di dalam Dewan Rakyat?
 
Jawapannya adalah beliau tidak lagi mahu atau berasa mampu menjadi Perdana Menteri yang bergantung kepada parti-parti politik.
 
Bukan tujuan beliau hendak menjadi diktator atau autokrat, tetapi untuk mentadbir dengan lebih tenang dan berkesan tanpa gangguan politik kepartian.
 
Malah kaedah ini boleh menjadikan Malaysia lebih demokratik kerana kerajaan terdedah kepada pemantauan oleh parti-parti politik di dalam dan luar dewan.
 
Dalam bahasa yang mudah, cadangan Dr Mahathir ini boleh juga dilihat sebagai percubaan terakhir beliau memenuhi aspirasi dan matlamat menyelamatkan Malaysia yang beliau asaskan pada tahun 2016.
 
Kempen Selamatkan Malaysia yang memungut lebih 1.4 juta tandatangan rakyat jelata adalah jalan pulang beliau ke arena politik selepas bersara pada tahun 2003.
 
Alhamdulillah, melalui Pakatan Harapan (PH) yang beliau pimpin negara berjaya dibebaskan daripada cengkaman kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN).
 
Pakatan Harapan menamatkan rompak samun Barisan Nasional
Jadi dari sini pun kita boleh lihat mengapa beliau tidak boleh menerima Umno seperti yang cuba dipaksakan ke atas beliau oleh Bersatu.
 
Sejarah Pahit
 
Pada malam  21 Februari sesuatu yang luar biasa berlaku. Majlis Presiden PH telah memberi sokongan penuh kepada Dr Mahathir untuk terus menjadi Perdana Menteri sehingga selesai sidang kemuncak APEC November ini.
 
Bukan itu saja malah ia juga tidak meletakkan sebarang tarikh selepas itu bagi Dr Mahathir memindahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Selepas mesyuarat itu, Dr Mahathir memberitahu sidang media: “Saya kata peralihan lepas APEC (Asia-Pacific Economic Cooperation). Tidak ada masa (ditetapkan)…tidak ada tarikh… tiada apa-apa. Terpulang kepada saya tentukan masa. Keputusan kepada saya, bila akan letak jawatan.” (Bernama).
 
 
Jadi pada pendapat beliau dan daripada sudut pandangan umum, beliau telah diberikan mandat baru oleh PH untuk terus mentadbir. Cerita kononnya beliau akan dipaksa undur diri Mei ini tidak benar dan tidak terjadi.
 
Matlamat Dr Mahathir tidak lain kecuali membersihkan negara daripada najis kerajaan BN dan akibat wabak Covid-19 yang sedang berlaku sekarang.
 
Tetapi kegembiraan beliau singkat. Pada pagi hari Ahad, 23 Februari parti beliau, Bersatu mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) di mana Dr Mahathir dikejutkan oleh tekanan bertubi-tubi daripada majoriti ahli supaya menarik Bersatu keluar daripada PH dan bergabung dengan Umno dan Pas.
 
Dr Mahathir menerangkan dengan panjang lebar apa yang berlaku dalam mesyuarat 21 Februari dan berkata, beliau tidak boleh sewenang-wenangnya mengabaikan  kepercayaan yang diberikan oleh Majlis Presiden PH itu.
 
Malah beliau merayu berulang kali kepada ahli agar memberikan beliau peluang dan tidak mamaksa beliau melanggar prinsip beliau dan mungkir janji kepada Anwar.
 
Dengan izin, saya memaklumkan yang saya sebelah Dr Mahathir dan saya bangun meminta ahli majlis supaya menghormati pendirian beliau dan jangan terus mengasak beliau.
 
Pokok pangkalnya, Dr Mahathir hanya merayu diberi peluang untuk berpegang kepada prinsip beliau dan menunaikan janji beliau.
 
Dan dengan jelas mengulangi pendirian beliau, iaitu beliau boleh terima pemimpin Umno sebagai individu tetapi beliau tidak akan terima Umno.
 
Akhirnya keputusan diambil untuk keluar PH dan dengan itu runtuhlah Kerajaan PH. Pada hari Isnin Dr Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.
 
Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri adalah wajib kerana beliau bukan lagi ahli PH dan PH hilang majoriti dalam Dewan Rakyat.
 
Beliau tidak perlu letak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu tetapi mengambil keputusan untuk mengundurkan diri kerana tidak mendapat sokongan MPT.
 
Pada 27 Februari beliau terima semula jawatan Pengerusi Bersatu atas rayuan melutut MPT.
 
Bagi saya, itulah latar belakang politik yang menyebabkan Dr Mahathir tidak mahu lagi memimpin berasaskan parti. Kalau masih diperlukan, beliau akan memimpin kerajaan tanpa parti.
 
Praktikal atau tidak, itulah pilihan beliau buat masa ini dan terpulanglah kepada ahli Dewan Rakyat memutuskannya Isnin ini.
 
Malah secara terbuka beliau memberitahu sidang media semalam bahawa beliau bersedia kalah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menerima Presiden Bersatu itu sebagai calon Perdana Menteri jika itulah keputusan Dewan Rakyat.
 
Perlu disebutkan bahawa Muhyiddin adalah pemimpin Bersatu yang bercakap bagi pihak ahli MPT yang mahu Bersatu keluar PH dan menyertai Umno dan Pas.
 
Anugerah seorang Raja prihatin, bijaksana
Apa-apa pun kita kena bersyukur dan berterima kasih kerana di saat-saat genting ini, kita mempunyai seorang Raja yang prihatin, bijaksana dan berperikemanusiaan.
 
Menjunjung kasih ke bawah duli Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
 
Inilah sebabnya saya selalu memetik lirik lagu Negaraku yang berbunyi:
 
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan
Raja kita
Selamat bertakhta.
 
Dan kita jangan lupa kakitangan Perkhidmatan Awam, Polis dan Tentera yang secara tersurat dan tersirat mentabdir dan melindungi negara kita, Malaysia, yang dicintai ini.
 
Tanpa prejudis saya memohon maaf. Wallahuaklam, Terima kasih.

 

 

https://kadirjasin.blogspot.com/2020/02/kerajaan-perpaduan-atasi-politik.html

Discussions
Be the first to like this. Showing 5 of 5 comments

Shinnzaii

Impossible to do it in short time...you open the door to all...if got DAP inside Umno and PAS dont want to work with them...some wan to use his own political parties to join...this only work when open a new political parties to find new fresh mind candidate instead of the old one...hehe

2020-02-28 15:02

DickyMe2

Post removed.Why?

2020-02-28 15:13

EngineeringProfit

PLEASE RETURN WANG TABUNG HARAPAN......................

2020-02-28 15:14

ahbah

Who give this stinky political sheet to the poor rakyat ?

2020-02-28 15:16

Shinnzaii

Still got 2 days before market open...dun drag too long...hehe

2020-02-28 15:27

Post a Comment