MY Corporate Updates

NPI Hektar REIT Naik 17.8% Pada S1 2022

kfcmailman
Publish date: Mon, 23 May 2022, 09:23 PM

NPI Hektar REIT Naik 17.8% Pada S1 2022

Kuala Lumpur (23 Mei) – Hektar Asset Management Sdn. Bhd., iaitu Pengurus Amanah Pelaburan Hartanah Hektar (Hektar REIT), hari ini mengumumkan keputusan suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (S1 2022). Hektar REIT merekodkan hasil sebanyak RM29.11 juta, meningkat 8.7% berbanding RM26.78 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Hasil yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh peningkatan dalam pendapatan sewa, pendapatan tempat letak kereta dan penghunian hotel yang lebih tinggi, selaras dengan REIT runcit dan hospitaliti lain. Sentimen runcit keseluruhan bagi suku ini kekal positif kerana ia disokong oleh peningkatan dalam jualan runcit berikutan permintaan yang tersekat daripada suku lepas. Pendapatan hartanah bersih Hektar REIT meningkat 17.9% kepada RM16.62 juta berbanding RM14.09 juta yang dicatatkan pada S1 2021, manakala pendapatan direalisasi bagi suku dalam tinjauan meningkat 110.7% kepada RM13.74 juta berbanding RM5.52 juta pada S1 2021. Pendapatan seunit meningkat sebanyak 106.6% kepada 2.92 sen untuk S1 2022 berbanding 1.41 sen untuk S1 2021.

Walaupun dalam persekitaran yang dinamik & mencabar, Pengurus dapat membawa masuk penyewa baharu dan memuktamadkan penyewaan sedia ada. Kadar keseluruhan portfolio kepenghunian Hektar REIT kekal stabil pada 84.8% pada suku dalam tinjauan. Sokongan utama untuk pusat beli-belah Hektar kekal positif kerana Golden Screen Cinemas (GSC), penyewa utama kami di Subang Parade, Central Square dan Kulim Central, telah mula menjalankan perniagaan mereka.

Komitmen oleh penyewa utama sedemikian adalah bukti keyakinan terhadap prospek jangka panjang pusat beli-belah. Hektar REIT optimistik secara berhati-hati bahawa akan ada pemulihan secara beransur-ansur apabila negara beralih ke fasa endemik dengan penarikan sekatan dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Retail Group Malaysia (RGM) juga menjangkakan industri runcit akan pulih pada 2022 selepas mencatatkan kadar pertumbuhan 26.5% tahun atas tahun pada S4 2021, yang melebihi jangkaan pasaran. RGM menjangkakan jualan runcit akan berkembang sebanyak 6.3% pada tahun 2022.

Pengurus akan mengekalkan pandangan berhati-hati untuk suku akan datang & terus memantau situasi yang berkembang dan kekal fokus untuk memastikan keselamatan & kesejahteraan pembeli, penyewa, pekerja dan komuniti kami di semua hartanahnya.

Disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang berpanjangan & pelaksanaan sekatan pergerakan pada 2020 dan 2021, peruncit masih dalam peringkat awal pemulihan. Oleh itu, walaupun prestasi Hektar REIT bertambah baik, Pengurus telah memutuskan untuk menggunakan pendekatan berhemat dengan beralih daripada pengagihan pendapatan suku tahunan kepada separuh tahunan sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjangnya untuk meningkatkan pengurusan modal REIT.

Melangkah ke hadapan, tertakluk kepada prestasi kewangan REIT, Pengurus bercadang untuk membuat pengagihan kepada pemegang unit Hektar REIT secara separuh tahunan bagi setiap tempoh enam bulan berakhir 30 Jun dan 31 Disember setiap tahun, melainkan ditentukan sebaliknya dan/ atau diubah oleh Pengurus mengikut budi bicara mutlaknya. Walau bagaimanapun, Pengurus tetap komited untuk mengagihkan sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatan boleh agih Hektar REIT bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Related Stocks
Market Buzz
Discussions
Be the first to like this. Showing 0 of 0 comments

Post a Comment